WhatsApp Ikuti Info Terkini

Gaji 5 Dirham Tak Cukup! Kenapa? : Sebuah Kisah Motivasi



Diceritakan seorang lelaki datang menemui Imam asy-Syafi'i bagi mengadukan nasibnya yang hidup dalam penuh kesempitan. Beliau mendapat upah sebanyak lima dirham bagi pekerjaannya. Duit gaji yang diterima itu tidak mencukupi. Peliknya, Imam Syafi'i tidak berkongsi idea supaya lelaki tersebut membuat kerja kedua, kerja separuh masa di tempat lain ataupun berhenti kerja, dan mencari kerja di tempat lain yang memberikan gaji yang lebih tinggi daripada lima dirham. Dari sudut lojiknya, 3 perkara tadi adalah salah satu cara atau teknik untuk mengukuhkan kewangan seperti disarankan oleh pakar-pakar dalam kewangan. Tapi ...


Idea yang pelik


Sebaliknya Imam asy-Syafi'i menyuruh lelaki tersebut pergi menemui majikannya dan meminta supaya diturunkan gajinya kepada empat dirham sahaja. Beliau pergi menyampaikan arahan Imam asy-Syafi'i itu walaupun dia bertambah keliru. Mengikut logik akal, sekiranya lima dirham tidak cukup, empat dirham lagilah tidak cukup.


Setelah sekian lama berlalu, lelaki itu datang semula bertemu dengan Imam asy-Syafi'i dan menceritakan bahawa selepas majikannya membayar gaji sebanyak empat dirham, dia masih berada di dalam kesempitan hidup, gaji empat dirham itu tidak membuatkan hidupnya bertambah baik. Ianya sama sahaja.


Kurangkan lagi 1 dirham...


Mendengar luahan lelaki itu buat kali kedua, Imam asy-Syafi'i memerintahkan kepada lelaki itu untuk sekali lagi pergi berjumpa dengan majikannya supaya mengurangkan satu dirham lagi daripada gajinya menjadi tiga dirham. Jika kita sebagai manusia normal, mesti berasa pelik bagaimana Imam asy-Syafi'i boleh mempunyai pemikiran yang bertentang dengan logik akal manusia normal apabila memberi solusi untuk orang yang ada masalah 'gaji tidak cukup'. Pada zaman ini, jika diminta berbuat begitu, ada tak staf kerajaan mahupun swasta yang sanggup pergi berjumpa dengan majikan untuk menurunkan gajinya?


Bersambung cerita tadi. Lelaki tersebut pergi sekali lagi berjumpa dengan majikannya untuk memohon dikurangkan gajinya kepada tiga dirham sahaja. laitu hampir 40 peratus kurang daripada gaji asal iaitu lima dirham.


Selepas seketika, beliau datang bertemu lagi dengan Imam asy-Syafi'i dan menceritakan bahawa duit tiga dirham itu cukup untuk menampung semua keperluan hidupnya dan hidupnya menjadi lapang.


Rahsia disebalik upah lebih rendah


Lelaki itu diceritakan mahu mengetahui apakah rahsia di sebalik upah yang jauh lebih rendah itu yang menjadikan keperluannya cukup? Beliau bertanya kepada Imam asy Syafi'i kenapa ia berlaku seperti itu?


Imam Syafi'i menerangkan bahawa pekerjaan yang lelaki itu lakukan hanya berhak menerima upah tidak lebih daripada tiga dirham. Ekstra dua dirham daripada gajinya sebelum itu telah mencabut keberkatan hartanya, kerana sudah bercampur dengan yang haram.


Justeru, Imam asy-Syafi'i menyebut, 

"Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak. Yang haram masuk ke dalam yang halal lalu merosakkan semuanya." 


Kesimpulan dan Pengajaran


Kesimpulan daripada kisah di atas, kita boleh rujuk kepada perjalanan hidup kita sama ada kesempitan yang kita alami itu disebabkan rezeki yang tidak cukup, ataupun ia sudah bercampur aduk dengan yang halal dan yang haram.


Akhir kata, semoga kita semua dilimpahkan rezeki yang halal lagi suci dan dipermudahkan segala urusan kita semua.


Kongsi artikel ini :

Ulasan

Popular